Thursday, December 24, 2009

Tazkirah Jumaat

PEMIMPIN YANG DIREDHAI

Pemimpin satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak. Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: “Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula.”

Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.

Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu ‘imun’, ‘aman’ dan ‘amin.’

Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala ‘amin’ pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .

Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.

Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.

Syarat ketiga ialah ’selfleadership.’ Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?

Perkataan ‘leader’ merujuk kepada tanggungjawab (al-mas’uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”

Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.

Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.

Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan ‘The Power Of Communication.’ Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.

Cara berkomunikasi ada empat:

1. Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.
2. Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
3. Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.
4. The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddaththir.

1. Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
2. Mesti membesarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
3. Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.
4. Tinggalkan dosa.
5. Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.

Pemimpin Mengikut Islam

1. Niat Yang Ikhlas
Apabila menerima suatu tanggung jawab, hendaklah didahului dengan niat sesuai dengan apa yang telah Allah perintahkan. Iringi hal itu dengan mengharapkan keredhaan-Nya sahaja. Kepemimpinan atau jabatan adalah tanggung jawab dan beban, bukan kesempatan dan kemuliaan.

2. Lelaki
Wanita sebaiknya tidak memegang tampuk kepemimpinan. Rasulullah Shalallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Tidak akan beruntung kaum yang dipimpim oleh seorang wanita (Riwayat Bukhari dari Abu Bakarah Radhiyallahu’anhu).

3. Tidak Meminta Jabatan
Rasullullah bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah Radhiyallahu’anhu, ”Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepemimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggung jawab sendirian, dan jika kepemimpinan itu diberikan kepada kamu bukan karena permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Berpegang Dan Konsisten Pada Hukum Allah
Ini salah satu kewajiban utama seorang pemimpin. Allah berfirman, ”Dan hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” (al-Maaidah:49). Jika ia meninggalkan hukum Allah, maka seharusnya dilucutkan daripada jabatannya.

5. Memutuskan Perkara Dengan Adil
Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin mempunyai perkara kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan keadaan terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).

6. Senantisa Ada Ketika Diperlukan
Hendaklah selalu membuka pintu untuk setiap pengaduan dan permasalahan rakyat. Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin atau pemerintah yang menutup pintunya terhadap keperluan, hajat, dan kemiskinan kecuali Allah akan menutup pintu-pintu langit terhadap keperluan, hajat, dan kemiskinannya.” (Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmidzi).

7. Menasihati Rakyat
Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin yang memegang urusan kaum Muslimin lalu ia tidak bersungguh-sungguh dan tidak menasihati mereka, kecuali pemimpin itu tidak akan masuk syurga bersama mereka (rakyatnya).”

8. Tidak Menerima Hadiah
Seorang rakyat yang memberikan hadiah kepada seorg pemimpin pasti mempunyai maksud tersembunyi, entah ingin mendekati atau mengambil hati. Oleh karena itu, hendaklah seorang pemimpin menolak pemberian hadiah dari rakyatnya. Rasulullah bersabda,” Pemberian hadiah kepada pemimpin adalah pengkhianatan.” (Riwayat Thabrani).

9. Mencari Pemimpin Yang Baik
Rasulullah bersabda,”Tidaklah Allah mengutus seorang nabi atau menjadikan seorg khalifah kecuali ada bersama mereka itu golongan pembantu, iaitu pembantu yang menyuruh kepada kebaikan dan mendorongnya kesana, dan pembantu yang menyuruh kepada kemungkaran dan mendorongnya ke sana. Maka orang yang terjaga adalah orang yang dijaga oleh Allah,” (Riwayat Bukhari dari Abu said Radhiyallahu’anhu).

10. Lemah Lembut
Doa Rasullullah,’ Ya Allah, barangsiapa mengurus satu perkara umatku lalu ia mempersulitnya, maka persulitlah ia, dan barang siapa yang mengurus satu perkara umatku lalu ia berlemah lembut kepada mereka, maka berlemah lembutlah kepadanya.

11. Tidak Meragukan
Rasulullah bersabda,” Jika seorang pemimpin menyebarkan keraguan dalam masyarakat, ia akan merusak mereka.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Al-hakim).

12. Terbuka Untuk Menerima Idea & Kritikan
Salah satu prinsip Islam adalah kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara ini adalah platform bagi rakyat untuk memberi idea atau kritikan kepada kerajaan & pemimpin agar sama mengembling tenaga & ijtihad ke arah pembentukan negara yang maju. Saidina Abu Bakar berucap ketika dilantik mnjdi khalifah, beliau menegaskan “..saya berlaku baik, tolonglah saya, dan pabila saya berlaku buruk, betulkan saya..”, manakala Khalifah Umar pernah ditegur oleh seorg wanita ketika memberi arahan di masjid, dan beliau menerima teguran tersebut.

Sebagai penamat posting ini, saya membocorkan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik oleh Tun Dr. Mahathir:

* Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar.
* Beliau mesti bersedia menerima tanggungjawab tetapi tidak boleh terlalu mendesak dan berkeras dalam memimpin.
* Beliau tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri serta tidak harus menuding jari atau mencari seseorang untuk dipersalahkan.
* Beliau harus bersikap luhur dan tidak pentingkan pujian dan kemasyhuran.
* Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan serta perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.
* Beliau patut bersedia melakukan apa yang diharapkan oleh orang lain untuk beliau laksanakan serta mendukung slogan kepemimpinan melalui teladan.
* Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang2nya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya.

Wassalam..

Sumber artikel :Mixterr Studio Blog

Monday, November 16, 2009

Pose Istimewa Guru-guru SKDK



Persembahan Murid-murid SKDK




Sarapan Pagi Di Kafe Pak Ya





Sarapan pagi disediakan untuk semua warga SKDK termasuk ibubapa sebelum majlis bermula.

Majlis Hari Anugerah Cemerlang SKDK 2009


Hari Anugerah Cemerlang SK Datuk Kelana,Tapah.
Khamis,12 November 2009.

Friday, November 6, 2009

Penyakit Lupus/SLE

Selama ini kita kurang atau langsung tidak tahu apa itu penyakit lupus atau SLE. Kira-kira pukul lima petang tadi admin mendapat berita anak jiran meninggal dunia kerana penyakit ini. Pulang dari menziarahi arwah admin terus melayar internet mencari maklumat berkaitan penyakit lupus. Moga artikel ini dapat memberi sedikit pengetahuan.


Lupus penyakit kronik kekal

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Bahagian kulit paha yang diserang Lupus.

Kira-kira 11,000 rakyat Malaysia hidap masalah genetik yang tiada penawar

FARHA Ibrahim berusia 11 tahun ketika disahkan menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus yang berkaitan dengan autoimun tubuh.

Pada awalnya, Farha, 27, mengalami demam panas yang berpanjangan. Sekejap sembuh, kemudian kembali demam. Selain itu kakinya juga bengkak dan sentiasa dalam kesakitan.


Kekerapan demam menyebabkan doktor yang merawat mula mengesyaki Farha mungkin menghidap demam akibat jangkitan pada saluran pernafasan - demam rheumatik. Beliau diberikan ubat dan dalam sekelip mata, semua masalah dianggap selesai. Farha boleh pulih seperti biasa, tetapi itu bukan penyelesaiannya.

“Saya bersama keluarga bersantai di sebuah taman tema di ibu negara. Sebaik pulang ke rumah, seluruh tubuh saya dipenuhi ruam kemerah-merahan,” katanya.

Beliau dirujuk semula kepada doktor yang sama merawatnya dulu dan ketika itulah menerima jawapan sebenar penderitaannya iaitu menghidap SLE atau Lupus. Namun, sekitar 1993, tidak banyak diketahui mengenai penyakit itu dan tidak hairanlah walaupun sudah disahkan menghidapnya, bapanya tidak merujuk Farha ke hospital untuk rawatan. Sebaliknya, Farha dibawa berjumpa dengan ramai bomoh di seluruh negara.

Lupus pada muka.

“Selama setahun saya diubati oleh ramai bomoh, termasuk yang mendakwa handal kerana berkawan dengan orang bunian. Sepanjang tempoh itu, tanpa rawatan yang betul, penyakit saya bertambah teruk. Tubuh kurus, berat badan terus susut kerana tidak lalu makan. Malah saya terlalu lemah hinggakan tidak boleh berjalan,” katanya.

Farha juga tidak ke sekolah selama setahun kerana asyik dibawa berubat dengan bomoh di seluruh negara. Beliau tidak menyangka dalam tempoh itu jugalah, penyakit Lupus sudah menyerang paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.

Mungkin Farha akan terus mencari bomoh jika kakaknya tidak bertindak nekad membawanya ke hospital pada usia 12 tahun.

“Selepas setahun tanpa rawatan, saya masih ingat doktor yang membuat pemeriksaan itu memberitahu Lupus sudah menjejaskan paru-paru, jantung dan buah pinggang. Sedangkan, ketika mula-mula didiagnosis, Lupus hanya menyerang kulit dan sendi,” katanya.

Kanak-kanak yang diserang Lupus perlu diberi perhatian.

Farha bagaimanapun masih dapat diselamatkan walaupun terpaksa ditahan selama empat bulan di hospital. Malah dia berpeluang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di dalam wad walaupun gagal hadir ke sekolah selama setahun.

Empat bulan di wad, Farha dipantau rapi. Dia terpaksa mengambil steroid sebagai sebahagian rawatan komplikasi Lupus. Ini disebabkan hingga kini Lupus belum ada penawarnya. Sejak itulah hingga kini, Farha bergantung pada steroid dan ia mungkin perlu bergantung kepadanya seumur hidup.

“Saya sudah biasa aktif bersukan. Namun dengan Lupus dan mengambil steroid, saya perlu berhati-hati. Misalnya tidak terlalu aktif dan berjemur pada cahaya matahari,” katanya.

Begitupun, sedikit pun Farha tidak menyesali apa yang menimpanya. Apa lebih penting, ialah memahami mengenai Lupus. Disebabkan dia didiagnosis dengan Lupus seawal usia 12 tahun, Farha menjaga dirinya sendiri sebaik mungkin. Mengambil ubat dan mengelak faktor yang akan mengundang penyakit itu.

“Saya sedaya upaya tidak mahu berada dalam keadaan tertekan. Kalau tertekan, penyakit akan mudah menyerang. Simptom Lupus untuk setiap pesakit tidak sama. Untuk saya, kalau rasa letih atau lemah sangat, itu petanda penyakit sudah menyerang,” katanya.

Walaupun didiagnosis dengan Lupus, Farha kuat semangat. Setahun tidak ke sekolah dan menduduki peperiksaan di dalam wad, Farha berjaya juga menjejak kaki ke universiti. Lulusan kejuruteraan awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kemudian menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun.

“Saya beritahu bakal suami apa yang saya hadapi dan kemungkinan yang mungkin berlaku jika saya hamil. Beliau memahami dan Alhamdulillah, saya tidak mengalami masalah untuk hamil walaupun doktor menasihatkan supaya tidak mengandung,” katanya.

Hari ini Farha yang mengusahakan kedai jahitan, sudah bergelar ibu beranak dua. Masih bergantung pada steroid, tetapi Farha tidak mahu memikirkan kesan jangka panjang pengambilan steroid. Apa yang penting untuknya, memiliki keluarga bahagia dan melihat anak membesar serta berjaya.

Hakikatnya, Farha adalah seorang daripada ribuan pesakit Lupus di Malaysia. Walaupun ia dipercayai lebih banyak menyerang wanita dewasa, namun ia juga boleh menyerang kanak-kanak.

Kesan jangka panjang pada kanak-kanak juga berbeza dengan pesakit dewasa kerana mengambil steroid pada masa yang lama. Namun seperti kata Farha, hanya dengan bantuan steroid dia boleh menjalani kehidupan normal walaupun itu bermakna terpaksa mengambil steroid sepanjang hayat.

Apa yang menyedihkan, tiada data mengenai jumlah pesakit Lupus kanak-kanak di Malaysia kerana tiada kajian khusus mengenainya dilakukan. Namun, berdasarkan peningkatan kes Lupus di seluruh dunia yang meningkat tiga kali ganda sejak 40 tahun lalu, tidak mustahil banyak kes Lupus dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia yang tidak dilaporkan.

Secara umumnya, mengikut data 1990, kes Lupus di Malaysia membabitkan nisbah 43 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Sehingga kini dianggarkan ada lebih 11,000 pesakit Lupus berada negara ini.

Jumlah ini kecil jika dibandingkan dengan pesakit diabetes, jantung atau buah pinggang. Namun, satu daripada sebab mengapa jumlah ini kecil, mungkin penyakit Lupus tidak cukup dikenali dalam kalangan warga Malaysia serta segelintir pengamal perubatan.

Lupus kerap kali dianggap penyakit misteri atau penyakit seribu wajah. Sebabnya mudah, simptom Lupus itu pelbagai bergantung pada organ atau bahagian badan yang diserang penyakit. Kadang kala simptom seperti demam atau letih itu dianggap masalah kesihatan yang biasa.

Timbalan Presiden Persatuan SLE Malaysia dan Pakar Runding Rheumatologi, Dr Yeap Swan Hin, berkata Lupus tergolong dalam kumpulan penyakit kronik yang dideritai seumur hidup.

Berbanding di Barat, Lupus lebih cenderung menyerang warga Asia. Malah dianggarkan 31 daripada 100,000 orang Asia diserang Lupus, 13 daripada 100,000 golongan Hispanik, 19 daripada 100,000 orang kulit hitam dan empat daripada 100,000 dalam kalangan penduduk kulit putih.

Dr Yeap berkata, Lupus adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila tisu badan menyerang sistem imun atau daya tahan badan itu sendiri. Ia boleh dikategorikan sebagai radang akut atau kronik. Namun, ia bukan penyakit berjangkit.

“Lupus boleh menyerang mana-mana tisu badan, misalnya di kulit, jantung, paru-paru, ginjal, sendi atau sistem saraf. Lupus pada kulit dikenali sebagai Lupus dermatitis manakala yang membabitkan organ dalaman, dikenali SLE,” katanya.

Katanya, sehingga kini punca Lupus tidak diketahui, namun genetik kerap kali dikaitkan sebagai antara faktor utama.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, antara lima ke 12 peratus pesakit Lupus didapati memiliki saudara mara yang berdepan dengan masalah sama,” katanya.

Dr Yeap berkata, selain genetik beberapa faktor lain turut dikaitkan dengan Lupus. Misalnya stimulasi dengan faktor persekitaran seperti virus yang merangsang sel imun tertentu dan faktor hormon estrogen berlebihan. Sinaran cahaya matahari yang merangsang sel kulit menyebabkan pembentukan lebih banyak auto antibodi juga mungkin satu daripada faktor.

“Menghidap Lupus bererti menghidap penyakit yang tiada ubat dan seumur hidup. Ada sesetengah pesakit berdepan dengan serangan Lupus yang sederhana (mild) tetapi ada yang diserang dengan teruk,” katanya.

Justeru, selain ubat-ubatan, sokongan keluarga dan kawan-kawan seperti kumpulan sokongan banyak membantu pesakit untuk lebih tenang dan menganggap Lupus bukanlah satu bebanan.

Dr Yeap berkata, simptom Lupus juga pelbagai dan ia bergantung pada organ yang terjejas. Namun, hampir kesemua simptom itu adalah keadaan biasa dialami seperti demam, letih, hilang berat badan dan ruam.

Namun, jika keadaan itu berlanjutan dan kerap datang dan pergi, sebaiknya bawa anak bertemu doktor pakar. Lupus didiagnosis berdasarkan kombinasi simptom (perubahan yang anda kesan, aduan yang anak anda buat dan pemeriksaan doktor) dan ujian darah.

Tiada ubat yang boleh menyembuhkan Lupus. Apa yang ada ialah ubat-ubatan yang membantu mengawal simptom. Antaranya termasuklah krim untuk ruam, pengambilan ubat-ubatan antiradang untuk demam dan sakit otot. Ubat anti-malaria untuk menangani rasa keletihan, sakit sendi, radang paru-paru dan ruam. Selain itu mungkin ada beberapa ubat lain disarankan bagi memperlahankan sistem imun.

INFO: Sistemik Lupus Eritematosus (SLE)

  • Penyakit autoimun
  • Berkaitan dengan genetik
  • Tiada penawar setakat ini
  • Pesakit diberi ubat bagi mengawal Lupus.

    Antara simptom Lupus
  • Demam
  • Letih
  • Hilang berat badan
  • Sakit sendi
  • Ruam pada kedua-dua pipi
  • Sensitif cahaya
  • Rambut gugur.

  • (Moga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan arwah di kalangan orang2 yang beriman,amin)

    Sekitar Hari Kanak-Kanak 2009